Seminar dan Latihan Kewangan Islam, Perancangan Kewangan Islam, Bisnes, Pengurusan, Motivasi dll Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Selasa, 4 Mac 2008

Motivasi Pemimpin - Ukuran Kejayaan Sebuah Kepemimpinan

Wan Roslili Binti Majid
Pegawai Penyelidik, IKIM
26/02/2008 Berita Harian

Salah satu ciri yang menjadi asas kejayaan sesebuah kepemimpinan ialah kegigihan mencapai matlamat atau natijah perjuangan. Inilah misalnya yang ditunjukkan oleh Khalifah `Umar ibn al-Khattab r.a. yang berjaya memimpin negara Madinah berasaskan matlamat yang suci, sebagaimana yang jelas dalam ucapannya, "Perumpamaan bangsa Arab adalah seperti unta yang kesakitan hidung. Ia akan mengikut arahan gembalanya. Oleh itu gembalanya harus berhati-hati, ke arah mana ia patut dipandu. Bagiku, demi Tuhan kepada Kaabah ini, akan kupimpin mereka ke jalan yang benar." Dalam riwayat yang lain disebut bahawa beliau menegaskan, "Ya Allah, aku ini kasar, jadikanlah aku lemah-lembut; aku ini lemah, kurniailah daku kekuatan. Bangsa Arab ini ibarat unta yang tiada pedoman dan tali kekangnya berada di tanganku. Saksikanlah bahawa aku akan memastikannya berada pada landasan yang benar."

Dengan matlamatnya membawa masyarakat pimpinannya menuju kebenaran, Khalifah `Umar r.a. mengambil langkah dengan membentuk dasar-dasar yang jelas disasarkan bagi mencapai matlamat tersebut. Lihat sahaja pada dasar pentingnya seperti musyawarah (perundingan), perlantikan pegawai kerajaan berasaskan kelayakan dan kepakaran, pengawasan menyeluruh (al-riqabah) yang membabitkan pengawasan pentadbiran dan pengawasan rakyat dan amalan hisbah (menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran). Menyentuh tentang dasar pengawasan pentadbiran, Khalifah `Umar menetapkan pengawasan dan pemantauan terhadap pegawai-pegawai kerajaannya oleh semua pihak. Antara langkah yang diambil bagi menjayakan dasar ini ialah memastikan bahawa semua gabenor wilayah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan berada di Makkah pada musim haji, iaitu apabila semua penduduk dari seluruh pelosok dunia Islam berkumpul di kota suci Makkah. Dalam perhimpunan umum yang diadakan, Khalifah `Umar r.a. memberikan peluang kepada individu atau rakyat yang mahu mengemukakan aduan atau ketidakpuasan hati terhadap pegawai-pegawai kerajaan secara langsung di hadapan khalifah dengan kehadiran pegawai-pegawai berkenaan. Malah, aduan-aduan kecil juga dibuat oleh rakyat dalam perhimpunan tersebut. Selain itu, bagi menjayakan dasar pengawasan pentadbiran negara ini, pegawai-pegawai kerajaan diwajibkan membentangkan penyata harta milik mereka ketika mula bertugas, sedang bertugas dan setelah tamat perkhidmatan. Sebagai contoh, gabenor Bahrain pernah dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan bukti yang sah bagi sumber pendapatan dan kuda berbaka baik yang dimiliki semasa bertugas di negeri berkenaan.

Langkah lain yang dilaksanakan oleh Khalifah `Umar r.a. bagi melaksanakan dasar pengawasan ini ialah beliau dan pembantu-pembantunya menyusun kegiatan rondaaan di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat secara langsung dan jelas tentang kehidupan rakyat. Kisah bagaimana Khalifah `Umar r.a. menyelesaikan dengan sempurna permasalahan yang dihadapi oleh rakyat seperti kemiskinan begitu masyhur dan ia jelas menggambarkan keadilan dan kebertanggungjawabannya yang amat tinggi sebagai pemimpin. Bagi dasar pengawasan rakyat pula, setiap rakyat diberikan peluang mengawasi pentadbiran dalam semua segi termasuklah sistem pentadbiran khalifah sendiri. Ini memberikan peluang kepada pemimpin dan gabenor untuk menerima teguran dan mengakui kesilapan, jika sememangnya kesilapan tersebut benar-benar dilakukan. Di samping itu, pemimpin dan gabenor juga berpeluang meyakinkan orang ramai tentang kebenaran diri serta tindakan mereka, jika mereka sememangnya berada di pihak yang benar.
Melalui dasar telus dan terbuka ini, ternyata Khalifah `Umar r.a. mendidik setiap pegawai kerajaannya supaya sentiasa beriltizam tinggi untuk melaksanakan amanah yang diserahkan dengan penuh rasa tanggungjawab, bukan untuk mencapai tujuan atau kepentingan tertentu. Pemantauan menyeluruh terhadap pencapaian dan kesungguhan mereka melaksanakan tugas juga mendorong mereka untuk sentiasa berhati-hati. Bagi rakyat pula yang diberikan peluang untuk terbabit secara langsung dalam pemantauan urusan pentadbiran negara, mereka dibimbing untuk mencontohi nilai-nilai mulia yang dipamerkan oleh pemimpin, terutama khalifah sendiri seperti benar, beramanah dan bertanggungjawab, dan adil serta saksama.

Menelusuri zaman pemerintahan Khalifah `Umar r.a. ternyata beliau telah mencatat kejayaan yang begitu besar meskipun tempoh pemerintahannya agak singkat, iaitu sekitar sepuluh tahun. Antaranya termasuklah pengasasan Baitul Mal, mahkamah dan perlantikan hakim (qadi), pembentukan beberapa buah jabatan penting seperti jabatan perang dan ketenteraan (Diwan al-Jund), Diwan al-Kharaj, jabatan jenayah dan polis, pembinaan terusan, pewujudan cukai terhadap hasil laut dan perlantikan pegawai pemungut cukai bagi hasil berkenaan, pembinaan rumah tumpangan untuk jemaah haji diantara Makkah dan Madinah, penubuhan kota-kota penting seperti Basrah dan Kufah. Selain itu, pada zamannya juga wilayah penguasaan tamaddun Islam diperluas lagi. Beliau telah berjaya menakluk Mesopotamia dan sebahagian Parsi serta Mesir, Palestin, Sham, Afrika Utara dan Armenia. Jika diteliti dengan mendalam, setiap ciri kehidupan diberikan perhatian yang tinggi oleh Khalifah `Umar ; ibadah, siasah dan pentadbiran negara, mu`amalat dan kewangan, undang-undang dan keadilan serta pendidikan keilmuan. Dalam bidang keilmuan, Khalifah `Umar r.a. memberikan dorongan yang besar terhadap usaha menuntut ilmu dan menjadikan Madinah sebagai kota atau pusat pengeluaran fatwa serta ilmu fiqh.

Sesungguhnya Khalifah `Umar menjadi lambang pemimpin agung yang memiliki makna diri yang tinggi. Berasaskan ketaqwaan, beliau berupaya mengenali dirinya dan mengetahui dengan jelas makna dan arah tujuan hidupnya. Maka dengan yang demikian pula, beliau memiliki keupayaan untuk membimbing rakyat pimpinannya menuju matlamat dan jalan yang benar dan yang diredai Allah s.w.t. Kisah perjuangan dan kepimpinan `Umar r.a. juga memberikan isyarat yang penting kepada kita bahawa bukan pemimpin sahaja yang menggalas tanggungjawab dan amanah yang berat, malah rakyat juga memiliki tanggungjawab yang sama. Ini kerana, di tangan merekalah letaknya kuasa memilih pemimpin. Jika yang menjadi pilihan ialah pemimpin yang benar, bertanggungjawab dan yang bertekad mahu memimpin mereka kepada kebenaran sebagaimana yang ditegaskan oleh Khalifah `Umar maka akhirnya kepada kebenaranlah mereka akan dibimbing dan dipimpin. Jika yang sebaliknya dipilih oleh mereka, maka kesan dan mudaratnyalah yang akan ditanggung oleh mereka. Benarlah kata-kata Khalifah `Umar bahawa kekuasaan merupakan suatu bentuk ujian, sama ada bagi pemimpin mahupun juga rakyat yang dipimpin, "Tuan-tuan sekalian, aku ini hanyalah salah seorang daripada kamu. Jikalah tidak disebabkan cadangan khalifah Rasulullah yang lalu, yang tidak sepatutnya ditolak, maka aku tidak akan menerima jawatan ini. Sesungguhnya Allah menguji kamu dengan pelantikanku, sebagaimana Dia mengujiku dengan memimpin kamu...."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Followers (Pengikut)

Seminar dan Latihan Kewangan Islam, Perancangan Kewangan Islam, Bisnes, Pengurusan, Motivasi dll Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com