Seminar dan Latihan Kewangan Islam, Perancangan Kewangan Islam, Bisnes, Pengurusan, Motivasi dll Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Khamis, 13 Mac 2008

Motivasi Pelajar - Makan kurma dan berpuasa, rahsia Azali capai 20 1A

PUTRAJAYA: “Tidak ada rahsia, cuma saya amalkan makan kurma dan minum madu setiap hari serta berpuasa sepanjang peperiksaan selain banyak bersabar dan konsisten dalam mengulangkaji,” kata Azali Aznan, 17 daripada SMKA Yan, Kedah apabila ditanya mengenai rahsia kejayaannya mendapat 20 1A dan 1 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007.
Azali yang merupakan calon tunggal mengambil 21 mata pelajaran dalam SPM tahun lalu begitu bersyukur kerana segala usahanya selama ini berhasil.

“Alhamdulillah, saya begitu bersyukur dan sungguh tidak menyangka mencapai keputusan yang cemerlang memandangkan saya hanya mendapat 18A1 dan 3A2 semasa peperiksaan percubaan.
“Justeru saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang mengajar saya daripada tadika hingga sekolah menengah kerana ini bukan kejayaan saya seorang tetapi kejayaan kami bersama,” katanya selepas diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang SPM 2007 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, di sini, Rabu.
Antara mata pelajaran yang diduduki Azali adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Mathematics, Science, Kesusateraan Melayu, Geografi, Bahasa Arab Tinggi, Perdagangan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Physics, Chemistry, Biology, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Seni Visual, English for Science & Technology dan Additional Mathematics.

Ditanya apa yang mendorongnya mengambil banyak mata pelajaran dalam SPM, beliau yang juga pernah mendapat anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan tahun lalu, berkata itu hanya untuk kepuasan dirinya dan juga untuk ibu bapa serta guru. “Saya tidak pernah berniat untuk menandingi sesiapa, cuma saya rasa mampu untuk melakukannya dan ia berhasil,” kata Azali yang juga aktif dalam aktiviti ko-kurikulum di sekolahnya.

Azali berkata, hanya 12 mata pelajaran yang menawarkan pembelajaran di dalam kelas manakala bagi sembilan mata pelajaran lagi, beliau hanya mengulangkaji sendiri. “Justeru, saya banyak melakukan solat hajat memohon supaya diberikan petunjuk dan bertawakal kepada Allah,” katanya.

Azali berkata, beliau juga tidak mempunyai jadual pembelajaran kerana padanya itu akan membuat beliau berasa tertekan. “Jika ada jadual, kita akan rasa tertekan kerana perlu mengikut jadual yang kita tetapkan itu. “Justeru, saya hanya belajar apabila saya bersemangat tetapi pastikan semangat itu selalu ada,” kata anak kepada pasangan guru, Azlan Osman dan Rozita Sarapir yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini.

Azali berkata, jika diberi peluang, beliau ingin menyambung pelajarannya dalam bidang bioteknologi di Amerika atau United Kingdom. “Bagaimanapun, saya sebenarnya tidak kisah sama ada belajar di dalam mahu pun di luar negara asalkan cita-cita saya ingin menjadi seorang professor tercapai,” katanya.


Pautan: 
Perunding/Motivator: http://ahmad-sanusi-husain.com 
Latihan/Perundingan: http://alfalahconsulting.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Followers (Pengikut)

Seminar dan Latihan Kewangan Islam, Perancangan Kewangan Islam, Bisnes, Pengurusan, Motivasi dll Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com