Seminar dan Latihan Kewangan Islam, Perancangan Kewangan Islam, Bisnes, Pengurusan, Motivasi dll Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Ahad, 9 Mac 2008

Motivasi Islam - Bersifat positif terhadap dunia

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

Tuntutan al-Quran agar manusia aktif dalam mengharungi kehidupan dunia adalah sesuai dengan status dan fungsinya sebagai manusia. Manusia terdiri daripada roh dan jasad.
Kedua-duanya memerlukan santapan jasmani dan rohani. Di dalam al-Quran manusia dituntut seimbang antara rohani dan jasmani. Dari mana manusia mengetahui Islam mengajarkan bahawa jasmani dan rohani harus seimbang?

Ternyata kata al-hayaat dan al-mamaat di dalam al-Quran yang jumlah hurufnya sama iaitu enam dan ini berulang sama banyak iaitu 145 kali. Jadi ini salah satu bukti bahawa antara rohani dan jasmani diperintahkan agar seimbang.

Jadi salah, jika ditekankan bahawa yang penting adalah solat atau yang penting kerja. Hakikatnya yang betul adalah solat dikerjakan pada waktu solat dan kerja dilakukan pada waktu bekerja. Inilah yang dituntut oleh agama agar manusia menjalani hidupnya secara realistik.

Kejadian manusia yang terindah ini adalah kerana keseimbangan dan kesesuaiannya, sebab itu Islam sahajalah satu-satunya agama yang penuh perseimbangan yang dapat membimbing manusia menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Bukan yang terbaik di antara kamu yang mendahulukan akhirat sementara dunia ditinggalkan atau mendahulukan dunia sementara akhirat ditinggalkan. Yang terbaik di antara kamu adalah yang menghimpun keduanya.

Pemahaman yang tidak komprehensif terhadap ayat-ayat dan hadis-hadis telah mendorong sebahagian orang Islam untuk hidup secara zuhud, menahan diri dari hal-hal yang bersifat duniawi. Sebaliknya mendorong mereka untuk hidup secara solih.

Bahkan ada yang hidup secara ekstrem dan berkelakuan seperti rahib dengan menolak segala kemewahan dan kesenangan hidup, tidak mempedulikan makan minum, berpakaian seadanya, tidak memikirkan harta kekayaan dan sebagainya, kerana takut terpedaya oleh pesona dunia.

Demikian tanpa sedar manusia yang diperdaya oleh syaitan menyimpang dari as-Shiraath al-Mustaqim dan menbawa kepada sikap ekstrem yang tidak sesuai dengan agama Islam yang sebenar.

Secara umumnya memang kehidupan dunia berpotensi besar melalaikan atau melengahkan. Dalam surah al-Hadid ayat 20 Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasaan (yang mengurang) juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakan harta benda dan anak-anak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke satu masa tertentu), selepas iti engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Hakikat

Hakikatnya ayat ini dan ayat-ayat yang serupa, bukan kecaman terhadap dunia, yang menjadikan seseorang harus mengutuk dan mengabaikannya. Ayat ini dan ayat-ayat semacamnya, menggambarkan kehidupan duniawi orang-orang yang melalaikan agama. Bagi orang-orang yang beriman mereka menjadikan dunia sebagai ladang untuk akhirat. Mereka berupaya meraih dunia dengan berpedoman nilai-nilai Ilahi, bahkan berusaha menguasainya. Akan tetapi, tidak menjadikan dunia menguasai diri mereka
Rasulullah adalah dikatakan makhluk yang paling mulia tanpa tandingan. Rahsianya bukan kerana baginda raja atau hartawan dan sebagainya, tetapi hanya kerana baginda adalah sebenar manusia yang dapat mendaki kemuncak kemanusiaannya. Itulah apa yang dikenali sebagai insan Kamil iatu baginda makan dan minum, tidur dan berkahwin seperti manusia lain.
Rasul sendiri bersabda: Hiburilah hatimu dari saat ke saat. Beliau membolehkan menyanyi dan mendengarnya, selama nyanyian itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai agama. Beliau tertawa, bergurau dan berolahraga. Baginda adalah hamba Allah yang paling bertakwa.
Ramai yang silap faham menganggap yang mulia dan bertakwa itu ialah tidak ada langsung kehidupan dunia. Mereka ingin terus berpuasa atau solat tanpa tidur.
Rasulullah pernah bersabda bermaksud: akulah yang paling takut dan arif dengan Tuhan kamu semua tetapi aku puasa dan aku berbuka dan aku tidur dan aku bangun berjaga malam untuk solat dan aku kahwini wanita maka siapa yang tidak ingin mengikut sunahku dia bukan umatku.(Riwayat Muslim).
Sebenarnya apa yang dimaksudkan kehidupan orang yang bertakwa tidak bererti dunia diabaikan. Takwa adalah dasar untuk kehidupan dunia dan akhirat. Allah banyak membicarakan di dalam al-Quran bahawa seseorang yang bertakwa akan memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat.
Orang yang bertakwa akan mempertahankan perseimbangan dunianya dan akhirat, perseimbangan dalam kehidupan rumah tangga, juga dalam setiap urusan yang lain.
Allah mengingatkan bahawa kita tidak boleh meninggalkan masalah dunia dan harus berbuat baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kita.
Firman Allah s.w.t. dalam surah An Nisaa’ ayat 134 yang bermaksud: Barangsiapa yang menghendaki pahala di dunia sahaja (maka ia rugi), kerana di sisi Allah ada pahala di dunia dan di akhirat. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Sekalipun mesej takwa lebih berorientasikan akhirat, seseorang yang bertakwa juga akan mendapatkan dunia.
Dalam al-Quran diingatkan, kita harus faham akan kehidupan di dunia. Kalau tidak, di akhirat nanti kita akan kebingungan. Sikap Muslim menghadapi dunia ini harus positif, dengan hidup sebagai khalifah yang mewakili Allah untuk mengatur dan memakmurkan dunia.
Oleh kerana itu manusia diharamkan merendahkan diri terhadap alam raya ini, sebab dengan demikian itu manusia telah menpersendakan rencana dan ketentuan Allah yang memulia dan melebihkan manusia terhadap makhluk-Nya yang lain.
Sikap rendah diri atau tidak terdaya menghadapi dunia adalah tercela, kononnya bersikap pasrah kepada dunia. Sikap pasrah dan tawaduk (merendahkan diri) hanya ditujukan kepada Allah yang telah mencipta seluruh isi alam ini untuk manusia.
Dengan sikap sebagai khalifah atau pengurus alam ini, manusia akan mampu menakluki alam dengan mengembangkan ilmu pengetahuan mereka tentang sunah Allah yang mengatur alam ini.
* Penulis ialah Pengurus Penyelidikan YADIM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Followers (Pengikut)

Seminar dan Latihan Kewangan Islam, Perancangan Kewangan Islam, Bisnes, Pengurusan, Motivasi dll Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com